Pendidikan awal kanak-kanak adalah perkara yang tidak boleh dipandang
ringan oleh setiap pengusaha tadika dan taska. Kadang kala ada ibu bapa
memilih taska atau tadika berpandukan populariti pada mata masyarakat.
Namun mereka lupa soal kualiti pendidikan yang penting dan mengambil
kira kesesuaian untuk perkembangan anak-anaknya. Ikuti panduan dalam
memilih taska atau tadika buat anak.
Tidak semua orang sanggup melayani kerenah kanak-kanak yang datang dari
pelbagai latar belakang, sosio-ekonomi dan budaya. Hanya guru yang
mempunyai berniat ikhlas, sabar dan berilmu dapat ‘bertahan lama’ di
prasekolah atau tadika. Guru prasekolah mestilah mempunyai sifat
penyayang, belas kasihan, komited dan minat dalam bidang kerjaya ini.
Ini kerana kerenah kanak-kanak sukar diramal antaranya bersikap
sensitif, suka merajuk, menangis dan buat perangai.
Merujuk kepada pra sekolah, pengusaha tadika perlu membuat pelbagai
persediaan dalam pengajaran dan pembelajaran supaya kelas berlangsung
dengan baik. Kadang-kadang guru mendapati sesetengah kanak-kanak lambat
memahami pelajarannya. Harus diingat bahawa kanak-kanak melalui kadar
pertumbuhan dan perkembangan berbeza. Oleh itu, guru perlu memberi lebih
perhatian kepada kanak-kanak itu.
Wujud Suasana Riang
Tadika atau taska yang baik ialah menyediakan proses pendidikan awal
kanak-kanak dalam suasana yang keriangan dan ceria bukan keadaan memberi
tekanan kepada kanak-kanak. Kegiatan kreatif, suasana dan persekitaran
yang diwujudkan guru boleh menjadi pemangkin kepada motivasi
kanak-kanak.
Untuk proses pembelajaran, pengajaran yang dilakukan di taska atau
tadika perlu dilakukan mengikut umur kanak-kanak terbabit. Juga pelbagai
kaedah digunakan untuk membantu kanak-kanak mengenali huruf, boleh
mengeja, membaca dengan lancar dan sebagainya. Dengan menggunakan kaedah
fonik dikatakan mampu membuatkan kanak-kanak membaca perkataan dengan
mudah dan kesannya mampu membaca buku dengan baik.
Program Bentuk Pemikiran Kreatif
Selain itu, pelbagai program perlu diadakan untuk menyuntik nilai-nilai
murni dalam diri mereka serta membentuk pemikiran yang kreatif, kritis
dan dinamik. Aktiviti-aktiviti yang lebih santai turut diadakan untuk
kanak-kanak secara pengajaran dapat dilakukan dengan mudah.
Aktiviti yang diadakan perlu mencabar dan menggembirakan untuk
meningkatkan potensi di samping mengamalkan nilai kasih sayang semasa
mengasuh dan mendidik kanak-kanak. Namun apa yang diharapkan,
kanak-kanak ini berkemahiran, berilmu, berdisiplin sepanjang berada di
taska dan tadika.
Dalam pada itu, untuk meningkatkan tahap pengajaran lebih baik,
kesedaran terhadap kepentingan pendidikan prasekolah ini harus
ditingkatkan dengan menghadiri seminar untuk guru prasekolah, mengambil
program Pendidikan Jarak Jauh sama ada di peringkat sijil, diploma,
ijazah, sarjana mahupun doktor falsafah bagi menambah ilmu dalam bidang
ini.
Info : Taska yang didaftarkan oleh Jabatan Kebajikan
Masyarakat adalah di bawah Akta Pusat Penjagaan Kanak-Kanak 1984 bagi
kanak-kanak berusia 0 hingga empat tahun manakala tadika untuk kanak-
kanak berusia empat hingga enam tahun pula di bawah Akta Pendidikan 1996
(credit to Majalah Pa & Ma)